Archive for Julai 2009

Belajar Berfikir

Julai 28, 2009

Guru saya bercakap bahawa selalunya pemikir akan sengaja membikin suatu makna itu disampaikan dalam bahasa yang panjang lebar, berjilid dan berputar-putar; agar manusia lainnya akan berkata: “Wah! Hebatnya dia. Dialah Pemikir Agung!”

Dan kata guru saya ini memang benar. Slalu kita jumpa orang yang ada gelar doktor, dan dia selalu berucap dihadapan manusia; bicaranya selalu panjang-panjang, berbukit bukau dan berbalam-balam. Dan orang ramai yang mendengar butir bicaranya seperti mendengar suara mercun yang meletup waktu raya Cina – bising dan membingitkan, mereka tidak tahu apa yang sedang diperkatakan, tetapi mereka semua sadar bahawa yang bercakapnya itu seorang Doktor, punya PhD.

Justeru orang awam yang memang kebanyakannya tidak punya masa untuk duduk mencangkung lalu termenung panjang untuk berfikir, akan menganggap bahawa “orang pandai sudah memang biasa bercakap seperti mercun, bicaranya tidak difahami tapi bunyinya kuat. Dan org yang totol seperti mereka sudah memang biasa untuk tidak dapat mengerti apa yang disampaikan oleh orang bijak”.

Oleh itu, benarkah apabila kita menjadi bijak, dan apabila kita mula meneroka alam pikir, maka percakapan kita akan menjadi satu kalimat yang tidak akan difahami oleh manusia biasa. Sepertinya kita adalah ayam dan masyarakat adalah itik.

Rasanya ini bukan suatu yang benar. Yang sebetulnya adalah bicara seorang pemikir itu akan menjadi semakin difahami oleh orang totol ketimbang seorang totol kepada seorang totol yang lain. Kerna seorang pemikir itu sudah mampu untuk meringkaskan bicaranya, sudah mampu menyimpulkan maknanya dan sudah mengerti tatakrama manusia biasa, sehinggakan dia boleh menyerap dalam alam manusia kebanyakan.

Tetapi yang nyata dan berlaku dalam dunia ini, mereka menjadi ayam dan kita menjadi itik. Apakah ketika itu ayam dan itik perlu mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris agar mereka dapat menjadi bijak dan bisa berkomunikasi; walaupun untuk bertanya di mana ada kolam untuk menyudu dan padang untuk mengikis?

Maka persoalannya adalah, siapa Pemikir itu dan bagaimanakah seorang lulusan PhD pun masih tidak mampu untuk punya pikiran yang jernih?

Bagi saya, saya sangat bersetuju dengan pandangan guru saya, Pn Ainon Mohd tentang Pemikir, tetapi saya juga ingin memberi nafas baru pada makna: sebuah makna yang cukup mendasar, sangat sederhana, bahawa “Pemikir” adalah manusia yang berusaha untuk meneroka alam pikirannya dengan kaedah berfikir yang benar, sehinggakan melahirkan satu pemahaman yang benar dan shahih, serta beejaya menyampaikan pikirannya dengan bahasa yang cukup mudah dan ringkas.

Berfikir dengan benar adalah satu perkara yang jarang diperhatikan oleh manusia. Ini kerna semua manusia [rata-rata] beranggapan bahawa insan telah dianugerahkan oleh Tuhan sebuah akal yang mampu berfikir. Maka untuk apa lagi kita belajar berfikir, sepertinya kita mahu mengajarkan anak kita untuk belajar melihat padahal melihat itu bersifat alami, tak perlu diajarpun manusia akan secara otomitas akan melihat.

Tetapi kita tidak sadar bahawa setiap panca indera yang tuhan berikan itu punya batas dan perlu diasah. Yang selalu mati ketika melintas, yang selalu dilanggar kereta dan lori, malah kereta sorong pun adalah manusia yang celik, tapi tidak belajar cara melihat dengan betul. Begitu juga mendengar, yang selalu melaksanakan tugas secara tidak benar adalah manusia yang tidak pekak dan tuli tetapi mereka mendengar arahan tanpa mendengar dengan betul.

Lalu kerana itulah di sekolah menengah dan juga di awal menara gading, kita akan diuji dengan Ujian Penulisan, Ujian Pendengaran, Ujian Bercakap dan ujian Pemahman, yang semua ini adalah satu ujian menguji pancaindera kita.

Bagaimana pula dengan berfikir? Apakah kita tidak pernah mengajari akal kita untuk berfikir secara benar?

Atau kita tidak kisah untuk menempuh apa saja jalan asalkan kita boleh menggunakan otak, dan berfikir sejenak?

Hakikatnya, kita harus menempuh jalan pikir yang selamat dan menyelamatkan. Lantaran itulah pak Menteri kita, Tan Sri Mahyidin Yassin menyeru kita agar menjadi masyarakat berfikir. Namum persoalannya, “Berfikir yang bagaimana rupa?”

Apakah dengan Pemikiran Sambarono?

Atau Pemikiran Analitik dan Kritikal?

Pemikiran Sejajar / Pemikiran Berjujuk?

atau Pemikiran Sistemik, Pemikiran Literal, NPL atau lainnya?

Mungkin kita harus menuju kepada Pemikiran Rasuli!

Jadi, tuan-tuan harus mula berfikir saat ini, jenis Pikiran mana yang paling bagus untuk diamalkan.

Asal kita jangan terjatuh dalam lubang falasi [silap logik pikir], seperti mahu menyuruh ayam dan itik pergi ke sekolah semata-mata untuk membolehkan mereka membaca buku di universiti [yang jumlah ayam masuk universiti sekitar 20% sahaja] dan menyenangkan mereka mendapat kerja [mereka tidak mahu mendesak syarikat swasta memperjuangkan bahasa Ayam Tempatan], dan juga menjadikan mereka berinteraksi dengan dunia luar, antara ayam belanda dengan ayam hutan, antara ayam bulu balik dan ayam katik [padahal yang berinteraksi dengan dunai luar secara aktif hanya sekitar 30% sahaja]. 

Tetapi orang yang dihinggapi denga falasi  selalu menyangka bahawa pikiran mereka ini benar. Perumpamaannya adalah seperti seorang yang gila menafikan dirinya gila.