Racau

Seorang lelaki hingusan yang umurnya baru berapa tahun, meracau sepanjang hari di sepanjang jalan. Racauannya itu amat membingitkan cuping setiap orang yang lalu-lalang di halaman rumahnya. Entahlah apa yang dia racaukan, semua orang tidaklah tahu melainkan dirinya jua. Malah butir suaranya yang terjerit-jerit itu tidak jelas, yang dengar hanya bunyi ngauman; aummm… aummm macam singa jantan berteriak miang.

Lalu datanglah seorang pawang mengubatinya, dipanggil khusus dari seberang. “Kesian… kesian… budak ini dihinggap semangat Singa Hutan yang lapar tak makan seminggu!” kata pawang tua perlahan. “Lalu bagaimana pak?” soal orang ramai, takut jugak kalau budak hingusan ini mula menerkam orang lalu dibahamnya. “Bertenang anak-anak. Carikan aku seguni bulu ketiak dan seguri (setempayan) hingus hijau. Lekas!”. “Buat apa pak?”. “Jangan banyak tanya, lakukan apa yang aku suruh, cepat nanti dia kerasukan lagi!”. Lalu orang ramai pun berbaris panjang untuk menderma apa yang mampu. Ada dua barisan, satu barisan penuh dengan orang yang berhingus. Sret… sret… bungi hingus dihenyeh keluar. Hingus yang meleleh keluar dan bergantungan itu amatlah menjijikkan – melekit-lekit, lalu terkumpullah seguri penuh lendir yang berwarna hilau bercampur kuning. Satu lagi barisan berbau tengik kerana semuanya yang beratur itu tidak pernah memotong bulu ketiak, nasib baiklah hari itu mereka punya peluang untuk berbakti dengan menyedekahkan bulu yang berjela-jela itu. Semuanya mengankat tangan tinggi-tinggi agar dapatlah sang bomoh itu mencukur ketiak mereka. “Geli pak”. “Sabar nak, sikit aja lagi”. Ada yang kasar bulunya, ada yang berpintal-pintal dan ada yang berserabut sakan. Warnanya hitam melekit dan daki-daki kotor juga kadang-kadang melekat di bulu yang sudah dicukur. Lalu cukuplah seguni jumlahnya.

“Nah pak hingusnya, bulu ketiaknya”. “Bagus! Bagus!”. “Lalu apa yang harus kami perbuat?”. “Kamu cucikan bulu-bulu ini dengan hingus ini, agar bulu itu nantinya jadi putih, agar hingusnya itu jernih”. “Enggak masuk akal pak!”. “Akal mu kah yang tidak masuk atau akal ku?”. “Akal kami pak!”. “Lalu maknanya itu kamu bahalul, perlu mengaji lagi”. Lalu dengan berat hati dan rasa jijik, ramai-ramailah orang kampung menyeluk hingus hijau yang berbau kamis itu sampai ke pangkal lengan kerana gurinya dalam, menyental bulu yang berpintal-pintal. Berjam-jam menyental tapi hingusnya tidak putih juga malah berbuih-buih mengeluarkan bau hamis yang amat-amat. Bulu hitam berserabut itu juga tidaklah semakin putih seperti uban melainkan menjadi semakin hitam dan melekit-lekit dengan lendir hingus. Lepas lima jam menyental, orang ramaipun mengalah keletihan. Ada yang terduduk, ada yang tertidur dan ada yang jatuh rebah kerana keletihan dan bau tengik yang mewabak tersebar dalam ruang lingkup 10 km persegi.

“Oooo pak! Sudak lama kami menyental tapi hitam tetap hitam, hijau kekuningan tetap hijau kekuningan. Tidak ada jernih dan putih pak!” “Kaya itu (kalau macam itu) aku sudah mati akal. Ini jin sangat perkasa. Raja segala jin yang merasuk ke dalam jasad budak ini. Sebab itu aku sukar menewaskannya. Kerna aku tidak dapat gunakan ramuan itu, maka aku akan guna cara lain.”. Lalu pawang itupun duduk meratib dengan asap kemenian berkepul-kepul naik. Dia menjerit tiba-tiba; “Hee…. jin Singa Miang, keluarlah engkau dari badan budak ini. Heee… Raja Jin Singa Jantan Gersang… keluarlah seandainya engkau tidak mahu binasa!”. “Haa… haa… aku mau makan budak ini. Aku sudah lama intai sama dia. Aku mau glamor biar orang kenal siapa itu Jin Singa Miang”. Budak itu bangun mendadak lalu ditamparnya tok pawang yang tengah meratib sampai pengsan. Melihat hal itu, orang ramaipun lari bertiamparan ketakutan.

Esoknya lalu seorang Kyai hendak ke kampung sebelah. Dilihatnya kampung Sibir ini haru-biru lalu dia singgah sekejap bertanya khabar. Manalah tahu mungkin-mungkin dia dapat pinjamkan tangannya. Akhirnya tahulah dia bila orang kampung bercerita bahawa ada seorang budak lelaki yang meracau yang bukan-bukan. Orang kampung sudah ada yang dapat menangkap butir cakapnya itu. Kata mereka budak itu mahu jadi Perdana Menteri Timor Laste, ada yang kata dia mahu menghapuskan segala “pok ke” (chameleon) yang bertenggek di dahan-dahan. Ada yang kata dia marahkan itik berak merata-rata dan bencikan cicak berbunyi. “Pelik.. pelik…” kata Kyai itu bila mendengar khabar tersebut. “Baiklah aku akan cuba ubatinya, mana tahu tuhan juga yang perkenankan usaha ini”. Orang kampung pun membawa Kyia itu ke rumah mangsa. “Kesian.. Mulutnya itu tidak mau tutup-tutup. Asyik memaki hamun saja budak ini”. “Kata pawang semalam dia disampok dengan semangat Singa Miang ketika dia lalu di hutan”. “Kalau begitu biar Kyai tengokkan dahulu”. Lalu kyai itupun bersembahyang dua rakaat memohon petunjuk dari Azza Wa Jalla, Rabb Alam Semesta. Selesai berdoa dia bangun dan berkata; “Bukan, bukan di sampok tetapi dia ini melatah terkejut semacam biawak itu disergak, lalu larilah biawak tanpa memandang kiri kanan dan tersadunglah kakinya dan tengadahlah kepalanya”. “Bukan di disampuk?”. “Bukan!”. “Lalu apa yang dilatahkannya?”. “Dia melatah dengan apa yang dia lihat”.

Budak itu sentiasa meracau-racau menyebut perkara yang bukan-bukan, sekejap marah, sekejap menengking, sekejap meratib, sekejap melaung, sekejap berbisik. Macam orang gila lakunya. “Budak itu dirasuk. Dia disampok. Apa yang dia racaukan itu sebenarnya dia sedari, tetapi dia sengaja berbuat gila babi. Dan perasoknya itu ialah hatinya juga – setan yang bertandang bergayutan di situ”. Sambil Kyai itu tundingkan jari telunjukkan ke dada budak itu. “Dan apakah akal waras kalian menerima kerja ini – membersihkan kebusukan dengan kebusukan, menyucikan kejijikan dengan kejijikan, menghilangkan kejahatan dengan kejahatan?”. “Kami ini orang yang tidak berilmu, Kyai. Manalah kami tahu yang kotor itu tidak dapat dibersihkan dengan yang kotor juga. Maafkanlah kami”. “Lantas untuk itu kamu wajib berilmu dan bertaubat”. Kemudian Kyai itupun membaca doa mengangkat tangannya tinggi-tinggi ke langit, kemudian mengadap ke muka budak itu lantas ditempilengnya (di tampar) untuk menyedarkan si pura-pura itu. “Aduh!!!”. Akhirnya budak itu terpaksa mengaku yang dia hanyalah berlakon, semata-mata untuk menglamorkan dirinya dan mengaku yang mulutnya itu sukakan carutan. Dia mula insaf.

Catatan: aku buat pertama kalinya melayari blog seorang pelajar UM yang menuntut bidang pengajian antarabangsa. Laman ini disarankan oleh Pian kepadaku sebelum kami sama-sama masuk dewan periksa tadi. Aku menganggap dia seorang penulis yang baik tetapi dia ini suka meracau melolong tak tentu fasal. Dia telah menyerang Nizam Zakaria dan Sultan Muzafar yang punya nama besar dalam alam blog. Dan hari ini dia menyerang manusia yang songsang nalurinya. Untuk glamor tidak perlu menyerang orang, wahai saudaraku!

Aku bukanlah menyokong mereka ini kerana yang hitam itu tetaplah hitam, yang putih itu akan aku katakan putih. Cumanya aku menyebut dia suka meracau, kerana dia memaki hamun – sumpah seranah manusia yang songsang ini. Berlagak semacam orang mulia tetapi dia tidak menyedari bahawa dirinya itu cukup menunjukkan siapa dia sebenarnya. Seolah-olah dia orang yang berilmu dan penyantun. Apakah dia menyangkakan dirinya itu sempurna sebagus malaikat hingga dia boleh mencaci maki manusia lain?

Aku masih ingat, bahawa Ibn Qayyim berkata bahawa ada empat macam seruan. Pertama bila diseru maka kejahatan hilang. Kedua, apabila diseru kejahatan semakin berkurang. Ketiga, apabila diseru maka kejahatan tetap sama. Dan keempat, apabila diseru kejahatan semakin bertambah. Maka yang pertama dan kedua itulah yang terbaik. Begitulah juga kita tidak pernah mendengar ada nasihat atau teguran dari Rasul yang mulia kepada sesama Muslim berisi sumpah seranah, carutan dan cacian. Katakanlah kepadaku siapakah pedomanmu! Perbuatan engkau yang kasar ini apakah akan menepati tahap pertama, atau tahap kedua atau hanya menjurus kepada tahapan seterusnya?

Bukan tidak salah menegur orang, malah menegur itu amatlah baik. Tetapi harus diingat bahawa teguran yang akan kita laksanakan itu haruslah bijaksana. Jangan memaki, mecarut, menghina, membuka pekung di dada. Tetapi simpanlah kejahatan dan keaiban saudara kita dalam lipatan hati kita sahaja. Ucapkan perkataan yang baik-baik kerana kebiadapan selalunya membawa kepada pengingkaran sedangkan kelembutan itu dapat membuka pintu hati. Antara seorang Muslim dan seorang Kafir, tidaklah sama uslub dakwahnya.

Daripada aku ingin meletakkan blognya dalam link aku, terus aku padamkan alamat blog ini, kerana aku tidak mahu pembaca blog aku terdedah dengan bahasa yang berulat, tulisan yang meracun dan suara hati yang gelisah kegilaan. Takut nanti aku dan pembaca menjadi sewel serta kerasukan semacam dia.

Kepada Taufiq Ar Rasyidin, hendaklah engkau cepat-cepat memadamkan kata-kata kesatmu walaupun kononnya engkau ingin memberi nasihat, walaupun engkau membenci kelakuan buruk tersebut, kerana nasihatmu itu tidaklah berguna sama sekali. Ia tidak menolongmu dalam agamamu malah ia sebagai pemberat dacing kehinaan. Jalan nasihat bukanlah apa yang engkau lalui itu, laluannya terbentang di sini – di dua kitab Al Quran dan As Sunnah ini – kedamaian, kesantunan, kebenaran, keadilan.

Seandainya apa yang aku katakan ini berseberang dengan kebenaran maka datangilah aku. Seandainya engkau marahkan aku tanpa ada apa-apa alasan, maka katakanlah mengikut mahu hatimu.

Blog Taufiq Ar Rasyidin: http://www.fiqarash.blogspot.com Rujuk entry 9 Mac 04

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: